Powered By

Free XML Skins for Blogger

Powered by Blogger

Thursday, April 10, 2008

Oleh: PROF. MADYA DR. AZIZ BARI

AGENDA MELAYU DALAM KERANGKA PERLEMBAGAAN DAN UNDANG-UNDANGNYA

Kertas ini cuba menghuraikan apa yang dikatakan agenda Melayu, yang mungkin sinonim dengan apa yang kadangkala dipanggil ketuanan Melayu itu, dalam konteks kerangka perlembagaan dan perundangannya. Walau pun belum ada definisi konkrit tentang apa yang dikatakan sebagai agenda Melayu itu, mungkin bolehlah dianggap bahawa agenda Melayu, sekurang-kurangnya dalama konteks perlembagaan dan undang-undang, merujuk kepada peruntukan-peruntukan yang melindungi dan melambangkan kedudukan dan kepentingan orang-orang Melayu. Sekaligus ini semua merangkumi aspek-aspek agama, budaya dan kepentingan mereka.Ungkapan Melayu dalam perlembagaan mempunyai perbagai elemem dan ciri yang bertunjangkan Islam, bahasa, adat istiadat serta hubungan dengan tanahair ini[1]. Bagaimanapun ini tidak harus menjadi pertikaian yang besar kerana definisi itu nampaknya dirangka untuk tujuan-tujuan tertentu seperti hak terhadap kedudukan istimewa dalam perlembagaan, pemilikan tanah[2] dan seumpamanya. Di dalam kerangka perlembagaan dan perundangan yang ada sekarang ini, semua harus dilihat dari perspektif demokrasi. Ini kerana mereka dikandung oleh sebuah persekitaran yang peraturannya ditentukan dan dipengaruhi oleh nilai yang bertunjangkan demokrasi. Meskipun kerangka agenda Melayu itu mungkin agak janggal di sisi demokrasi, ia dikekalkan kerana ia adalah formula tolak ansur antara kaum, sesuatu yang amat penting sekiranya sistem demokrasi hendak berdiri dan kekal. Demokrasi tidak mungkin bangun dan subur di dalam sebuah utopia, demokrasi memerlukan sokongan dan dokongan. Keamanan dan kestabilan perlu untuk mewujudkan sebuak demokrasi yang subur dan mampu berfungsi.

AGENDA MELAYU DALAM KERANGKA PERLEMBAGAAN
Peruntukan-peruntukan yang dianggap memanifestasikan apa yang dikatakan agenda Melayu seperti yang disebut di atas sebenarnya tidak mudah untuk dikenalpasti. Ini kerana ada peruntukan-peruntukan, yang meski pun tidak begitu jelas keMelayuannya, tetapi mempunyai falsafah dan implikasi yang menguntungkan orang-orang Melayu. Peruntukan-peruntukan yang diperkatakan di sini hanyalah sebahagian daripada peruntukan-peruntukan yang dianggap menyerlahkan kedudukan tadi. Walau apa pun kertas ini hanya cuba menyediakan sebuah permulaan untuk usaha yang lebih serius dalam bidang ini. Peruntukan-peruntukan yang dikira cukup jelas mempamerkan agenda Melayu ialah peruntukan-peruntukan mengenai kedudukan dan peranan sistem beraja[3]. Dibawah kategori ini terdapat pelbagai peruntukan mengenai kedudukan dan kuasa Yang di Pertuan Agung[4], Raja-Raja[5] dan Majlis Raja-Raja[6]. Ini diikuti oleh peruntukan - peruntukan mengenai kedudukan istimewa orang-orang Melayu[7]. Perlembagaan juga menetapkan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan[8]. Kedudukan Islam, yang sukar dipisahkan daripada orang-orang Melayu dan keMelayuan, turut terpahat di dalam perlembagaan[9]. Selain empat unsur[10] yang agak jelas hubungannya dengan orang-orang Melayu dan keMelayuan itu, ada lagi peruntukan-peruntukan yang implikasinya tidak banyak berbeza dengan kempat-empat unsur diatas tadi. Ini termasuklah penetapan bahawa hanya orang-orang Melayu dan Islam sahaja yang boleh dilantik menjadi ketua kerajaan[11] dan ketua pentadbiran[12] di sembilan negeri-negeri Melayu[13]. Selain itu ada peruntukan yang meskipun tidak terang-terangan menyatakan kedudukan dan kepentingan orang-orang Malayu perlu dipelihara tetapi mempunyai kesan yang menguntungkan mereka. Ini termasuklah perlunya kawasan luar bandar diberikan pertimbangan dalam persempadanan kawasan-kawasan pilihan raya[14]. Begitu juga dengan syarat penguasaan bahasa Melayu sebagai syarat untuk mendapatkan status warganegara[15].Jika unsur-unsur Melayu dan keMelayuan ini dilihat dari perspektif demokrasi, terutamanya prinsip samarata[16], memang kesemuanya agak sukar hendak dipertahankan. Bagaimanapun oleh kerana demokrasi tidak tegak sendiri – ia memerlukan sokongan sebuah persekitaran yang aman dan stabil – unsur-unsur Melayu tadi dikekalkan. Oleh kerana orang-orang Melayu adalah penduduk asal negara ini, alasan pengekalan tadi mempunyai hujah tambahan: perlunya unsur-unsur itu dikekalkan sebagai lambang dan jatidiri negara ini. Ciri ini amat penting kerana sebagaimana negara-negara lain di dunia sesebuah negara itu perlu mempunyai identiti dan jatidiri yang dalam konteks Malaysia faktor-faktor itu harus dibekalkan oleh masyarakat Melayu. Dan sesungguhnya ini bukanlah yang terlalu ganjil dalam dunia demokrasi, termasuk di negara-negara Eropah sendiri. Perlu disebut bahawa meskipun Suruhanjaya Reid menyatakan bahawa perlembagaan hendak membina sebuah demokrasi dan kesamarataan, ia turut mengambilkira kenyataan sejarah dan keadaan semasa waktu itu[17]. Ertinya awal-awal lagi, dan di kalangan orang-orang bukan Melayu pun, kepentingan apa yang sekarang diistilahkan sebagai agenda Melayu itu tidak dinafikan. Yang berbeza mungkin setakat mana unsur-unsur Melayu dan keMelayuan itu patut berperanan dan selama ia mana patut dikekalkan. Di kalangan orang-orang bukan Melayu pun tidak semua unsur-unsur itu dipersoalkan. Kedudukan Yang di Pertuan Agong dan Raja-Raja sebagai lambang dan identiti negara tidak dipertikaikan. Begitu juga dengan kuasa-kuasa tertentu Yang di Pertuan Agong dan Raja-Raja yang umumnya selaras dengan kedudukan dalam dunia demokrasi lainnya, selain dari yang meneruskan kedudukan masa silam. Kedudukan dan kuasa Majlis Raja-Raja berhubung dengan beberapa perkara termasuk dalam soal pindaan perlembagaan[18] Juga diterima kerana ia dikatakan menjadi sebahagian daripada formula tolak ansur yang memberikan orang-orang bukan Melayu kewarganegaraan[19]. Beberapa peruntukan – seperti yang berhubung dengan Islam, Bahasa Melayu dan keistimewaan Melayu – menjadi perkara-perkara yang panas dan kontrovasi. Walaupun peruntukan-peruntukan itu akhirnya diterima, kesemuanya terpaksa disebut dengan cara yang agak selaras dengan demokrasi dan kesamarataan. Sebab itu kedudukan Islam, selain dikotakkan dalam kerangka yang terbatas, tidak harus mengancam hak kebebasan beragama orang-orang bukan Islam[20]. Kedudukan bahasa peribumi pula tidak boleh dijadikan alasan untuk menafikan perkembangan dan penggunaan bahasa-bahasa lain[21]. Sementara itu kedudukan istimewa orang-orang Melayu harus diseimbangkan dengan kepentingan yang sah kaum-kaum lain[22]. Sistem beraja – Yang di Pertuan Agong, Raja-Raja dan Majlis Raja-Raja – diberi kedudukan dan peranan yang selaras dengan demokrasi. Selain menjadi simbol dan kuasa tertinggi berhubung dengan adat dan agama mereka boleh memainkan peranan dalam sistem demokrasi seperti perlantikan kerajaan[23] dan pembubaran dewan. Dalam beberapa hal lain, sistem beraja mungkin boleh menjadi faktor yang mempengaruhi perjalanan demokrasi, termasuk dalam konteks perisytiharan darurat. Kelangsungan peruntukan-peruntukan berkenaan dijamin oleh perlembagaan dengan cara meletakkan keputusan untuk meminda atau sebaliknya di tangan Raja-Raja, bukan parlimen (yang mungkin gagal dikuasai oleh orang-orang Melayu). Selain itu sebuah undang-undang, dalam bentuk Akta Hasutan 1948[24], turut menyediakan peruntukan-peruntukan yang agak jelas mempunyai maksud melindungi perkara-perkara tersebut. Peruntukan yang memanifestasikan agenda Melayu ini mempunyai hubungan dalam konteks perjuangan dan tolak ansur sewaktu rundingan kemerdekaan pada 1957. Cuma mungkin perlu disebutkan bahawa apa pun tolak ansur yang dicapai ketika itu, ia tidak harus statik. Sebuah perlembagaan, sesuai dengan sifatnya sebagai dokumen tulang belakang negara, tidak boleh terlalu terikat dengan masa lalu sehingga melupakan kenyataan masa kini dan juga kemungkinan masa depan. Apa yang menjadi asas dan sebab mengapa sesuatu peruntukan itu diterima tidak semuanya kekal dan relevan selama-lamanya. Bagaimanapun penilaian ini mesti dilakukan secara terbuka dan meluas, tidak secara sembunyi-sembunyi dan oleh pihak-pihak tertentu sebagaimana yang berlaku beberapa kali sehingga mencetuskan krisis perlembagaan, seperti yang berlaku pada 1983 apabila kerajaan cuba membataskan kuasa Yang di Pertuan Agong dan Raja-Raja. Peruntukan-peruntukan yang memanifestasikan agenda Melayu ini boleh dikatakan telah menjadikan perlembagaan kita sebuah perlembagaan yang unik. Walaupun peruntukan-peruntukan itu boleh dikatakan telah mengurangkan ciri demokrasi perlembagaan kita, ia bukanlah sesuatu yang terlalu janggal asalkan kita pandai mengimbaginya dengan ciri-ciri lain, termasuk dasar-dasar dan program yang boleh melaksanakan keadilan antara kaum. Meskipun perlembagaan memberikan kedudukan yang jelas dan mungkin istimewa kepada orang-orang Melayu dan juga untuk bahasa dan agama mereka perlembagaan tidak melarang pihak berkuasa melakukan sesuatu untuk mempastikan wujudnya perseimbangan dan keadilan sosial. Sebab itu kedudukan dan kemelaratan kaum lain tidak harus menjadi sebab untuk mengkaji peruntukan-peruntukan agenda Melayu itu meskipun kemungkinan berlakunya perlaksanaan yang melampau dan cauvinistik tidak harus dinafikan.

PERLEMBAGAAN – ANTARA IDEAL DAN KENYATAAN
Setelah sejarah dan rasional peruntukan-peruntukan mengenai agenda Melayu disorot tentu ada yang bertanya: apakah peruntukan-peruntukan perlembagaan yang bersemangatkan agenda Melayu itu benar-benar telah berjaya mencapai hasrat yang dicita-citakan? Soalan ini wajar kerana walau apa pun ideal dan falsafah yang melatari sesuatu peruntukan itu, pada analisis terakhirnya perlaksanaannyalah yang menjadi kayu ukuran. Jawapan kepada soalan itu juga akan menentukan masa depannya. Ini sukar untuk ditolak meskipun sebahagian daripada masalah yang timbul mungkin berpunca daripada perlaksanaan, bukan sifat peruntukan tersebut. Sukar untuk menafikan bahawa keadaan tidak sepenuhnya berubah dan ini berlaku di kala kedudukan peruntukan tersebut kian janggal. Selepas 44 tahun kita merdeka, sepatutnya perkara-perkara itu sudah selesai dan tidak lagi menjadi masalah. Inilah yang berlaku dengan kedudukan istimewa orang-orang Melayu. Setelah lebih empat dekad kita merdeka – kita masih lagi berada di takuk lama: bercakap tentang perlunya kedudukan istimewa itu dipertahankan kerana masyarakat peribumi masih miskin dan seumpamanya[25]. Kedudukan orang-orang Melayu yang masih ketinggalan itu menyebabkan kita bertanya: apa yang kerajaan telah lakukan selama ini? Sudah tentulah sikap cauvinis untuk mempertahankan keistimewaan Melayu menjadi begitu hodoh dan janggal sekarang: di tengah-tengah orang lain bercakap tentang demokrasi, kesamarataan dan globalisasi, sedang kita masih lagi bercakap tentang sesuatu yang hatta pada 1956-57 pun sudah sukar untuk dipertahankan. Seperti yang dinyatakan di atas, kedudukan istimewa Melayu itu tidak menghalang kerajaan membantu orang-orang bukan Melayu. Tetapi oleh kerana ini tidak dilakukan, maka kedudukan istimewa Melayu itu menjadi begitu hodoh dan diletakkan dalam keadaan yang defensif. Ini lebih parah lagi apabila ada pemimpin kerajaan sendiri yang beranggapan bahawa kedudukan istimewa Melayu itu sama dengan kronisme! Petaka yang sama menimpa kedudukan Bahasa Melayu dan Islam. Setelah lebih 40 tahun merdeka, kedudukan melukut ditepi gantang bahasa kebangsaan agak jelas berpunca dari kelemahan perlaksanaan. Ini menggambarkan betapa keliru dan kurangnya semangat jati diri di kalangan pemimpin Melayu meskipun mereka mendakwa merekalah nasionalis dan pejuang bangsa! Mengenai kedudukan Islam pula – meskipun terhad – ia sepatutnya telah membawa banyak faedah jika ia benar-benar dilaksanakan[26]. Ini termasuklah perlaksanaan undang-undang murtad dan seumpamanya yang sebenarnya diizinkan oleh kerangka perlembagaan yang ada sekarang[27]. Mengenai kedudukan Raja-Raja Melayu pula, keadaannya agak berbeza dengan kedudukan dan masalah di atas. Walaupun sebahagian daripada masalah berhubung dengan institusi beraja berpunca daripada kerajaan yang memerintah, punca sebenar datang dari institusi berkenaan sendiri. Dengan kata lain kelemahan Raja-Raja khususnya dan keluarga diraja umumnya menyebabkan mereka berada di dalam kedudukan yang defensif dan mudah diserang28[28]. Meskipun segala rekod tentang tindakan dan inisiatif Raja-Raja tidak diketahui umum kita boleh mengatakan bahawa mereka tidak begitu banyak mengambil inisiatif dalam mempertahankan kedudukan bahasa, agama dan kebajikan orang-orang Melayu. Kelihatannya Raja-Raja hanya berpuashati menjadi simbol dan lambang semata-mata meskipun perlembagaan sebenarnya mengizinkan Raja-Raja bertindak lebih dari itu. Sama seperti di negara-negara lain institusi beraja ini dipertahankan kerana nilai dan potensinya dalam mempertahankan demokrasi, selain mengekalkan sejarah masa lalu dan menjadi identiti negara.

AGENDA MELAYU DALAM PERLEMBAGAAN – MASA DEPANNYA
Meskipun kedudukan agenda Melayu kelihatannya begitu kukuh – ia tidak boleh dihapuskan meskipun orang-orang Melayu kehilangan kuasa politik–masa depan sebenar peruntukan-peruntukan tersebut sebenarnya tidak mudah untuk diramalkan. Yang jelas sesuatu hak atau kuasa itu tidak boleh dipertahankan apabila kesahihan atau alasan moralnya sudah tidak wujud lagi. Dan kita hidup dalam dunia dan sistem demokrasi semakin lantang menuntut kesamarataan, egalitarianisme. Apakah peruntukan-peruntukan mengenai agenda Melayu itu akan hanya kekal sebagai simbol semata-mata? Ini tidak mustahil. Apa yang ada didepan kita sekarang ialah betapa segolongan besar daripada masyarakat Melayu masih miskin dan terkebelakang meskipun peruntukan mengenai kedudukan istimewa Melayu itu wujud. Bahkan ada dasar-dasar, seperti kemasukan ke universiti dan biasiswa, yang sebenarnya tidak selaras dengan jaminan perlembagaan tersebut. Ini mungkin tidak dapat dielakkan oleh kepimpinan politik Melayu. Tetapi ini tidak pernah mereka akui dan orang-orang Melayu, yang sepatutnya sudah diperkasakan oleh kedudukan istimewa mereka, masih tidak mampu untuk bersaing dalam dunia bebas sebagaimana kaum-kaum lain. Dalam pada itu sudah ada usaha (yang tidak dapat dipastikan disengajakan atau sekadar untuk survival politik) untuk melemahkan apa yang dikatakan agenda Melayu tadi: peruntukan berkenaan kekal tetapi signifikannya tiada lagi. Ini termasuklah cakap-cakap tentang pembentukan bangsa Malaysia (yang kabur konsepnya)[29] dan usaha mengurangkan relevan Islam dalam pemerintahan dan kehidupan. Walau apa pun arah dan kemungkinan masa depannya, sebahagian daripada peruntukan-peruntukan agenda Melayu itu sebenarnya mempunyai potensi memperkukuhkan demokrasi dan mengelakkan politik perkauman. Kedudukan sistem beraja umpamanya boleh mempunyai kesan positif mengurangkan politik perkauman kerana ciri Melayu sudah dipelihara oleh perlembagaan – kedudukan Yang di Pertuan Agong dan Raja-Raja menjamin bahawa lambang dan identiti negara ini selamanya Melayu dan Islam. Begitu juga dengan politik – pembentukan kerajaan dan kepemimpinan pentadbiran di negeri-negeri Melayu – yang telah pun dijamin oleh perlembagaan. Sebab itu tidak ada parti politik dan kelompok yang boleh mendakwa bahawa mereka sahaja yang boleh menjamin hidup mati bangsa Melayu dan Islam. Dalam beberapa krisis, parti yang memerintah bukan sahaja telah mengelirukan rakyat dengan mendakwa merekalah pelindung bangsa Melayu tetapi juga mereka telah mendakwa bahawa merekalah, dan bukan Raja-Raja, yang menjadi penentu nasib bangsa mereka[30]. Parti-parti politik memang mempunyai peranan dan sumbangan, tetapi ini tidak harus dikelirukan dengan hidup-mati sesuatu bangsa atau agama yang turut bergantung kepada faktor-faktor lain. Nampaknya dalam melaksanakan agenda Melayu ini pun, mekanisme demokrasi, khususnya semak dan imbang, relevan dan bernilai. Sama dengan hal-hal lain tidak ada siapa pun yang boleh membolot segala-galanya. Dari sudut demokrasi peruntukan-peruntukan yang berjiwakan agenda Melayu ini boleh membantu mewujudkan sebuah demokrasi yang sihat kerana soal-soal Melayu dan kepentingan mereka telah pun dipelihara, parti-parti politik hanya berperanan mengisi kerangka yang telah disediakan oleh perlembagaan itu dengan dasar dan polisi yang sesuai. Jika kerangka berkenaan diizinkan beroperasi tanpa gangguan kita akan menyaksikan sebuah realpolitik yang tulen, yang berkisar kepada soal isu dan prestasi. Peruntukan-peruntukan yang berjiwakan agenda Melayu sebenarnya, jika benar-benar dilaksanakan, boleh membantu mengurangkan politik dan sentimen perkauman yang sempit itu. Agenda Melayu perlu berdiri sendiri, bukan menjadi sebahagian daripada Program atau strategi politik kepartian yang sempit yang hanya dikumandangkan tatkala masa depan politik tokoh atau parti tertentu menghadapi gerhana atau ribut taufan.

KESIMPULAN

Agenda Melayu menyebabkan perlembagaan kita mempunyai ciri-ciri yang unik jika dibandingkan dengan perlembagaan-perlembagaan negara yang lain. Meskipun ciri ini mungkin menyebabkan darjah demokrasinya kurang, ia harus dilihat dalam konteks sejarah negara[31]. Masyarakat dunia perlu menyedari bahawa masyarakat peribumi terpaksa hidup ditengah-tengah kaum-kaum yang dibawa masuk oleh penjajah dan ini kemudiannya menyebabkan kebajikan bangsa asal negara itu terjejas. Kedudukan dan struktur perlembagaan telah disusun sebegitu rupa di mana peruntukan-peruntukan berkenaan dengan agenda Melayu itu diletakkan di luar proses demokrasi biasa. Dengan itu tidak ada parti politik atau golongan yang boleh mendakwa bahawa merekalah yang menjadi penjaga atau penentu nasib serta masa depan orang-orang Melayu: perlembagaan telah menetapkan bahawa agenda Melayu atau ketuanan Melayu itu sebagai suatu ketetapan perlembagaan, bukan bola sepak politik[32]. Tentang masa depannya pula, perlulah disedari bahawa dalam dunia yang demokratik dan global ini, ciri-ciri Melayu tadi harus selaras dan tidak terlalu menjolok mata perlaksanaannya. Dalam soal ini kehadiran Islam sebagai salah satu faktor penting dalam masyarakat Melayu sepatutnya menjadi panduan dalam menentukan setakat mana agenda Melayu itu harus dilembagakan. Peruntukan mengenai agenda Melayu harus selaras dengan tuntutan melaksanakan keadilan yang amat dituntut oleh agama kita.



[1] Dibawah perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan disebut bahawa “Melayu” ertinya seseorang yang menganuti agama Islam, lazim bercakap Bahasa Melayu, menurut adat istiadat Melayu dan (a) lahir, sebelum Hari Merdeka, di Persekutuan atau di Singapura, atau ibu bapanya telah lahir di Persekutuan atau di Singapura, atau pada hari Merdeka itu, berdomisil di Persekutuan atau Singapura atau (b) ia adalah keturunan seseorang yang tersebut”.

[2] Untuk tafsiran ‘Melayu’ dalam soal tanah rezab Melayu lihat, umpamanya, Hj. Salleh Hj. Buang,

Malaysian Torrens Sistem, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hh.212-229, terutamanya hal.214.

Lihat juga David S.Y. Wong, Tenure and Land Dealings in the Malay States, Singapore University Press,

1975, hh.512-14, 516-30.

[3] Untuk perbincangan lanjut lihat Abdul Aziz Bari, “Institusi Ketua Negara, Ketua Negeri dan Majlis Raja-Raja” dalam Ahmad Ibrahim et al, Perkembangan Undang-undang Perlembagaan Persekutuan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1999, hh.40-98

[4] Perlembagaan Persekutuan, Bahagian 4, Bab 1

[5] Perlembagaan Persekutuan, Bahagian 5 (Perkara 70 & 71) dan Bahagian 15 (Perkara 181)

[6] Perlembagaan Persekutuan, Bab 2 (Perkara 38)

[7] Perlembagaan Persekutuan, Perkara 153. Ini juga terdapat dalam perlembagaan-perlembagaan negeri-negeri Melayu serta Sabah dan Sarawak. Tetapi peruntukan yang sama tidak ada di Melaka dan Pulau Pinang. Lihat, contohnya, Perlembagaan Negeri Pahang, Bahagian 2, Perkara 47 dan Perlembagaan Negeri Sarawak, Bahagian 5, Perkara 39. Lihat Abdul Aziz Bari, “Hak dan Keistimewaan Melayu menurut Perlembagaan Malaysia”, Kertas untuk Wacana Agenda Melayu, CEDER, Universiti Malaya, 10 Jun 2000.

[8] Perlembagaan Persekutuan, Perkara 152.

[9] Perlembagaan Persekutuan, Perkara 3 & 12(2)

[10] Setengahnya menyebut unsur-unsur ini sebagai unsur tradisi: lihat Mohd Salleh Abas, Tun, Prinsip Perlembagaan dan Pemerintahan di Malysia, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1997, hh.38-59

[11] Yakini Menteri Besar. Lihat, umpamanya, Perlembagaan Negeri Kedah, Bahagian I, Perkara 35(2).

[12] Yakini Setiausaha Kerajaan Negeri. Lihat, umpamanya, Perlembagaan Negeri Selangor, Bahagian 2,

Perkara 52(2)(a)

[13] Perlis, Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Negeri Sembilan dan Selangor.

[14] Perlembagaan Persekutuan, Jadual Ketigabelas, seksyen 2©

[15] Perlembagaan Persekutuan, Bahagian 3 Perkara-perkara 16(d), 16A(d) dan 19(1)© & (2)©.

[16] Perlembagaan Persekutuan, Perkara 8(1): Semua orang adalah sama rata disisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata disisi undang-undang”.

[17] Lihat Colonial Office, Report of the Federation of Malaya Constitutional Commission 1957, umpamanya, para 14, hal.8

[18] Perlembagaan Persekutuan, Perkara 159(5). Lihat juga perkara 38(4).

[19] Abdul Aziz Bari, The Development and Role of Constitutional Monarchy in Malaysia, Tesis PhD yang tidak diterbitkan, Universiti Birmingham, England, 1996, hh.144-45

[20] Perlembagaan Persekutuan. Perkara 3(1): “Ugama Islam ialah ugama bagi Persekutuan., tetapi ugama-ugama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan”. Lihat juga Perkara 11 dan 12.

[21] Perlembagaan Persekutuan, Perkara 152(1) yang antara lain memperuntukan,”Bahasa Kebangsaan ialah Bahasa Melayu………Dengan syarat bahawa (a) tiada sesiapa pun boleh dilarang atau ditahan daripada menggunakan (bagi apa-apa maksud,lain daripada maksud rasmi), atau daripada mengajar atau belajar apa-apa bahasa lain, dan (b) tiada apa-apa jua dalam Fasal ini boleh menyentuh hak Kerajaan Persekutuan atau hak mana-mana Kerajaan negeri bagi memelihara dan meneruskan penggunaan dan pengajian bahasa mana-mana kaum lain dalam Persekutuan”

[22] Perlembagaan Persekutuan, Perkara 153(1) yang memperuntukan bahawa “Adalah menjadi tanggungjawab Yang di Pertuan Agong memelihara kedudukan istimewa orang-orang Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak dan kepentingan-kepentingan yang sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan Perkara ini”.

[23] Untuk ini lihat Abdul Aziz Bari, Cabinet Principles in Malaysia – The Law and Practice, Kuala Lumpur: Univision Press, 1999, hh.15-21

[24] Lihat juga Pelembagaan Persekutuan, Perkara 10(4). Lihat H.P Lee, Constitutional Conflicts in Contemporary Malaysia, Kuala Lumpur: Oxford University Press, hh.110-19.

[25] Lihat, umpamanya, Dewan Masyarakat, Jil.38,Bil.11, November 2000, hh.14-29: “wajarkah Hak Istimewa Melayu dihapuskan?”.

[26] Untuk perbincangan lanjut lihat, umpamanya, Abdul Aziz Bari, “Perlaksanaan Islam melalui Kerangka Perlembagaan dan Perundangan Malaysia – Masalah dan Potensinya”, Jurnal Undang-undang IKIM, Jil.3, Bil.2, Jul-Dis 1999, hh.83-105

[27] Untuk perbincangan lanjut lihat, umpamanya, Abdul Aziz Bari, “Murtad dalam konteks Kebebasan Beragama di Malaysia’ Jurnal Undand-undang dan Masyarakat, Jil.3, 1999, hh.54-70

[28] Lihat, umpamanya, Abdul Aziz Bari, “Spoilt – Nation’s Checks and Balances’

http://www.malaysiakini.com, Jumaat, 2 Mac 2001

[29] Lihat , umpamanya, Abdul Aziz Bari, “the issue over Bangsa Malaysia”, Sunday Sun, 17 Ogos 1997, hal.18

[30] Raja-Raja mempunyai sejarah dan peranan sendiri dalam memperjuangkan kedudukan dan kebajikan orang-orang Melayu. Ini diakui oleh Suruhanjaya Reid sendiri dalam laporan mereka: lahat Abdul Aziz Bari, The Development and Role of Constitutional Monarchy in Malaysia, supra.

[31] Lihat Abdul Aziz Bari, “Sejarah dan hubungannya dengan beberapa ciri penting Perlembagaan Persekutuan Malaysia”, 10 Kanun (2) Jun 1998, hh. 1-5. Lahat juga Zainal Abidin Abdul Wahid et al, Malaysia – Warisan dan Perkembangan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1996

[32] Lihat Abdul Aziz Bari, “Ketuanan Melayu – Kenyataan Poitik atau Ketetapan Perlembagaan?”, Eksklusif, Bil.35, Disember 1999, hal. 17

Tuesday, March 18, 2008

Perhimpunan Agenda Melayu 2004

Oleh Ahmad Azam Abdul Rahman
di Perhimpunan Agenda Melayu
Kumpulan Prihatin, Anjung Rahmat
8 March 2004 2004/16 Muharram 1425


Dan berpeganglah seluruh kamu dengan tali Allah dan janganlah kamu berpecah belah.
(Ali Imran 3: 103)

Marilah kita rakamkan setinggi kesyukuran ke hadrat ILahi kerana dengan limpah kurniaNya kita digerakkan untuk hadir di Perhimpunan Agenda Melayu di Anjung Rahmat, ketika rakyat Malaysia sedang merasai bahang pilihan raya ke-11 untuk menentukan parti mana yang bakal memerintah negara tercinta ini untuk 5 tahun yang akan datang.

Bagi pihak penganjur, izinkan saya merakamkan setinggi penghargaan kepada Tun Abdul Rahman Ya'kub, Tan Sri Ainuddin Wahid, Dato' Seri Harussani dan Dato'-Dato' serta pembicara dan sidang hadirin sekalian kerana sudi menerima jemputan kami dari Kumpulan Prihatin yang dipengerusikan oleh Dato' Zainal Abidin Abdul Wahid, seorang tokoh pejuang bangsa yang tidak pernah kenal penat memperjuangkan untung nasib umat Melayu sejak 3 dekad yang lalu.


Kehadiran Tun Abdul Rahman di Perhimpunan ini yang amat dihargai. Tun mempunyai pilihan untuk berehat menjaga anak cucu dan menumpukan perhatian kepada kerja-kerja dakwah yang sebati dengan dirinya sejak dulu lagi. Tetapi apabila beliau kami kunjungi untuk menjadi orang tua kepada perhimpunan ini, beliau umpama seorang pendekar. Bila diajak berjuang demi kepentingan agama dan bangsa, tanpa memberi alasan, beliau lantas bersetuju. Generasi di zaman Tun menjadi Menteri Pelajaran dulu, pasti tidak akan lupa betapa tegasnya Tun memperjuangkan untuk mendaulatkan bahasa kebangsaan. Jarang-jarang sekali generasi mahasiswa menitiskan airmata, kerana sayangkan seorang Menteri yang terpaksa pulang ke Bumi Kenyalang untuk menjadi Ketua Menteri. Kepada Tun, kami rakamkan setinggi ucapan terima kasih.

Mengapa kita berada di sini pada hari ini?


Sejak beberapa tahun kebelakangan ini persaingan politik parti-parti Melayu semakin tajam dan malah sudah sampai ke tahap mengancam kepada survival umat Melayu-Islam itu sendiri. Kita menyatakan demikian kerana parti politik sudah tidak lagi mahu berpakat sesama sendiri demi kepentingan umat. Berbagai alasan dan dalil diberikan untuk terus menjatuhkan musuh politik masing-masing. Akibat dari persaingan merebut pengaruh yang sengit dan tajam ini umat bergaduh sesama sendiri. Peluang ekonomi diberikan kepada penyokong sendiri, sedangkan yang layak dinafikan, peluang kenaikan pangkat digunakan untuk membaja kumpulan berani mati kerana parti, hatta dalam pengurusan masjid, kriteria pemilihan imam dan nazirnya mengikut kecenderungan parti politik seseorang.


Ketika parti Melayu begitu ghairah untuk jatuh-menjatuhkan antara satu sama lain, prestasi umat di bidang ekonomi semakin merosot, prestasi pendidikan pelajar Melayu di Institusi Pengajian Tinggi Awam dan swasta jauh dari membanggakan, gejala sosial semakin meningkat dengan kadar yang mencemaskan, manakala jumlah penagihan dadah tidak menunjukkan sebarang pengurangan. Lebih malang lagi sudah wujud di kalangan segelintir anak muda Melayu yang boleh digolongkan sebagai cerdik pandai yang alergik dengan isu perpaduan Melayu. Mereka menganggap isu ini sebagai tidak lagi relevan dan kata mereka, isu ini hanyalah untuk orang-orang tua dan pakar sejarah sahaja. Pada ketika yang sama bangsa lain tidak pernah berehat dari membuat tuntutan demi tuntutan dengan bersalutkan alasan hak asasi, hak perlembagaan dan lain-lain istilah yang mengabui mata.

Justeru itulah, mungkin agaknya kerana rimas dan bimbang dengan amalan politik menang sorak kampung tergadai, Kumpulan Prihatin yang terdiri dari orang perseorangan mengorak langkah mengajak tokoh-tokoh negara, tokoh bahasa, intelektual, dan agamawan untuk membincangkan isu kepentingan umat ini amatlah menggalakkan serta memberangsangkan.

Kita berdoa semoga perhimpunan ini akan menjadi penyalur kepada hati nurani umat kepada parti-parti politik Melayu yang sedang ghairah berkempen untuk menang pilihan raya.

Harapan kita, selepas keputusan pilihan raya nanti, ialah parti yang menang dan yang kalah, harus merapatkan saf semula demi kepentingan umat yang lebih besar. Rasanya belum terlambat lagi untuk kita duduk semeja, berbincang dengan kepala dingin mengenai kedudukan umat yang semakin gawat ini. Kalaupun belum boleh lagi bersatu, sekurang-kurangnya bersetuju dengan satu dua perkara dulu jadilah. Janganlah kita berdolak dalih. Berpakatlah demi anak cucu kita.