Powered By

Free XML Skins for Blogger

Powered by Blogger

Tuesday, March 18, 2008

Perhimpunan Agenda Melayu 2004

Oleh Ahmad Azam Abdul Rahman
di Perhimpunan Agenda Melayu
Kumpulan Prihatin, Anjung Rahmat
8 March 2004 2004/16 Muharram 1425


Dan berpeganglah seluruh kamu dengan tali Allah dan janganlah kamu berpecah belah.
(Ali Imran 3: 103)

Marilah kita rakamkan setinggi kesyukuran ke hadrat ILahi kerana dengan limpah kurniaNya kita digerakkan untuk hadir di Perhimpunan Agenda Melayu di Anjung Rahmat, ketika rakyat Malaysia sedang merasai bahang pilihan raya ke-11 untuk menentukan parti mana yang bakal memerintah negara tercinta ini untuk 5 tahun yang akan datang.

Bagi pihak penganjur, izinkan saya merakamkan setinggi penghargaan kepada Tun Abdul Rahman Ya'kub, Tan Sri Ainuddin Wahid, Dato' Seri Harussani dan Dato'-Dato' serta pembicara dan sidang hadirin sekalian kerana sudi menerima jemputan kami dari Kumpulan Prihatin yang dipengerusikan oleh Dato' Zainal Abidin Abdul Wahid, seorang tokoh pejuang bangsa yang tidak pernah kenal penat memperjuangkan untung nasib umat Melayu sejak 3 dekad yang lalu.


Kehadiran Tun Abdul Rahman di Perhimpunan ini yang amat dihargai. Tun mempunyai pilihan untuk berehat menjaga anak cucu dan menumpukan perhatian kepada kerja-kerja dakwah yang sebati dengan dirinya sejak dulu lagi. Tetapi apabila beliau kami kunjungi untuk menjadi orang tua kepada perhimpunan ini, beliau umpama seorang pendekar. Bila diajak berjuang demi kepentingan agama dan bangsa, tanpa memberi alasan, beliau lantas bersetuju. Generasi di zaman Tun menjadi Menteri Pelajaran dulu, pasti tidak akan lupa betapa tegasnya Tun memperjuangkan untuk mendaulatkan bahasa kebangsaan. Jarang-jarang sekali generasi mahasiswa menitiskan airmata, kerana sayangkan seorang Menteri yang terpaksa pulang ke Bumi Kenyalang untuk menjadi Ketua Menteri. Kepada Tun, kami rakamkan setinggi ucapan terima kasih.

Mengapa kita berada di sini pada hari ini?


Sejak beberapa tahun kebelakangan ini persaingan politik parti-parti Melayu semakin tajam dan malah sudah sampai ke tahap mengancam kepada survival umat Melayu-Islam itu sendiri. Kita menyatakan demikian kerana parti politik sudah tidak lagi mahu berpakat sesama sendiri demi kepentingan umat. Berbagai alasan dan dalil diberikan untuk terus menjatuhkan musuh politik masing-masing. Akibat dari persaingan merebut pengaruh yang sengit dan tajam ini umat bergaduh sesama sendiri. Peluang ekonomi diberikan kepada penyokong sendiri, sedangkan yang layak dinafikan, peluang kenaikan pangkat digunakan untuk membaja kumpulan berani mati kerana parti, hatta dalam pengurusan masjid, kriteria pemilihan imam dan nazirnya mengikut kecenderungan parti politik seseorang.


Ketika parti Melayu begitu ghairah untuk jatuh-menjatuhkan antara satu sama lain, prestasi umat di bidang ekonomi semakin merosot, prestasi pendidikan pelajar Melayu di Institusi Pengajian Tinggi Awam dan swasta jauh dari membanggakan, gejala sosial semakin meningkat dengan kadar yang mencemaskan, manakala jumlah penagihan dadah tidak menunjukkan sebarang pengurangan. Lebih malang lagi sudah wujud di kalangan segelintir anak muda Melayu yang boleh digolongkan sebagai cerdik pandai yang alergik dengan isu perpaduan Melayu. Mereka menganggap isu ini sebagai tidak lagi relevan dan kata mereka, isu ini hanyalah untuk orang-orang tua dan pakar sejarah sahaja. Pada ketika yang sama bangsa lain tidak pernah berehat dari membuat tuntutan demi tuntutan dengan bersalutkan alasan hak asasi, hak perlembagaan dan lain-lain istilah yang mengabui mata.

Justeru itulah, mungkin agaknya kerana rimas dan bimbang dengan amalan politik menang sorak kampung tergadai, Kumpulan Prihatin yang terdiri dari orang perseorangan mengorak langkah mengajak tokoh-tokoh negara, tokoh bahasa, intelektual, dan agamawan untuk membincangkan isu kepentingan umat ini amatlah menggalakkan serta memberangsangkan.

Kita berdoa semoga perhimpunan ini akan menjadi penyalur kepada hati nurani umat kepada parti-parti politik Melayu yang sedang ghairah berkempen untuk menang pilihan raya.

Harapan kita, selepas keputusan pilihan raya nanti, ialah parti yang menang dan yang kalah, harus merapatkan saf semula demi kepentingan umat yang lebih besar. Rasanya belum terlambat lagi untuk kita duduk semeja, berbincang dengan kepala dingin mengenai kedudukan umat yang semakin gawat ini. Kalaupun belum boleh lagi bersatu, sekurang-kurangnya bersetuju dengan satu dua perkara dulu jadilah. Janganlah kita berdolak dalih. Berpakatlah demi anak cucu kita.

1 comment:

bahazain said...

ASM, sedalam T Kasih atas usaha baik menyiarkan artikel-artikel yang berfaedah; patut dihayati oleh semua yang mahu berbincang tentang Melayu/Malaysia. Syor saya: lebih jelas dibaca andainya teks artikel diterbitkan atas latar putih, terutama bagi pembaca yang menggunakan komputer riba yang kecil
Sekali lagi T.Kasih dan teriring doa restu.Baha Zain.